Sifat Peribadi Imam Malik

Sepanjang hidupnya, Imam Malik terkenal dengan kecerdasan akal fikirannya yang tinggi sehinggakan mampu menghafal al-Quran dalam usia yang masih muda. Beliau juga terkenal dengan sifat mulia, bersopan-santun, suka memakai pakaian yang bersih, kemas serta bau-bauan yang harum selaras dengan tuntutan agama supaya menjadi orang yang pembersih. Walau bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan keramahan dan bergaul dengan semua lapisan masyarakat merupaka seorang yang pendiam dan hanya berkata-kata apabila perlu dan menganggap benda yang akan diucapkan adalah perkara-perkara yang berfaedah sahaja. Beliau juga seorang hartawan yang tidak lokek membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sebagai contoh, beliau pernah membantu Imam as-Syafie sehingga berjaya menjadi ulama terkenal. Beliau seorang yang sangat menghormati hadis-hadis Rasulullah sendiri dan diri baginda sendiri walaupun baginda telah wafat. Beliau dikatakan tidak pernah menunggang sebarang jenis kenderaan di Madinah sebagai tanda menghormati jasad baginda yang tertanam di dalam kubur. Beliau pernah dirotan dengan cemeti sehingga patah tulang belakang kerana mengeluarkan fatwa yang tidak disukai oleh khalifah iaitu isteri yang ditalak secara paksa tidak jatuh talaknya. Ini menunjukkan betapa tabahnya beliau. Kerajinannya mengerjakan ibadat di malam hari pula menunjukkan kewarakan beliau terhadap Allah s.w.t. Prinsip hidup beliau mengenai ilmu ialah orang yang ingin belajar ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya. Beliau tidak pernah merungut apabila memberi pendidikan kepada anak-anak muridnya. Beliau akan bersusah-payah memberi kefahaman kepada anak-anak muridnya tentang sesuatu masalah ilmu.